Monday, March 6, 2017

10 Tips Mudah Memupuk Minat & Cepat Membaca Anak Anda

Memupuk minat membaca perlulah bermula dari rumah. Ini kerana ibu bapa adalah contoh dan cikgu terbaik untuk anak-anak mereka. Setiap ibu bapa akan teruja jika anak mereka dapat mebaca dengan lancar seawal usia 3 hingga 4 tahun. Masa kini dengan cabaran hari ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memupuk minat membaca anak anda dari rumah dan tidak perlu sehingga anak-anak memasuki tadika. Mari kita lihat apa tips mudah mengajar anak anda agar minat dan cepat membaca.

Tips Minat Membaca


1. Baca Buku Untuk Anak Anda


Dari rumah, ibu bapa boleh memupuk minat membaca anak-anak dengan membacakan buku kepada mereka. Bagi anak-anak berusia 2ke 3 tahun, jika ibu bapa kerap membacakan buku kesukaan mereka, jangan terkejut sekiranya anak anda mampu menghafal cerita yang mereka dengari. Biarpun mereka masih lagi dalam fasa belajar menyebut dengan cepat ataupun pelat, kita boleh dengar keterujaan mereka bercerita dari mulut mereka. Tidak percaya? Cubalah hari ini.

2. Nyanyi Lagu A-B-C bersama-sama

Tips Minat Membaca

Bimbang suara anda kedengaran sumbang? Jangan risau sebab tiada siapa yang akan peduli. Percayalah, anak-anak anda tidak kisah jika suara ibu bapa mereka tidak merdu. Apa yang mereka mahu ialah ibu bapa mereka menyanyi bersama-sama. Kini banyak lagu di Youtube yang boleh dijadikan rujukan ibu bapa untuk ajar anak anda menyanyi. Apa yang penting ibu bapa mestilah menyebut perkataan itu tanpa pelat. Lagu mudah yang boleh ibu bapa jadikan lagu bersama-sama dengan anak-anak ialah lagu ini.

Bapaku pulang dari kota,
Bapaku belikan kereta,
Kereta kecil warna merah,
Boleh ku bawa ke sekolah.

Pon, pon, pon, pon,pon,pon,
Kereta kecilku berbunyi,
Marilah adik mari naik,
Boleh ku bawa jumpa nenek.

Lagu seperti ini mampu menarik minat anak-anak anda untuk menyanyi dan jika diiringi dengan gaya dan ton suara yang pelbagai akan lebih menarik minat mereka. Hasilnya anak-anak akan rasa teruja dan sangat gembira. Cuba hari ini!

3. Pilih Tempat Yang Selesa Untuk Membaca

Tips Minat Membaca

Pastikan tempat yang selamat dan selesa untuk anak anda membaca. Pencahayaan juga sangat penting dan bila anak rasa selesa maka lebih banyak muka surat yang akan mereka suruh ibu atau ayah mereka baca.

4. Jadikan Membaca Satu Rutin

Tips Minat Membaca

Rutin ibu bapa hari ini apabila pulang dari tempat kerja akan membuka Astro, saluran 611. Kebiasaan ini mengundang kurangnya minat anak anda untuk membaca. Bagaimana jika ditukarkan tabiat ini kepada rutin untuk membaca bersama anak-anak anda. Ini bukan sahaja memupuk minat membaca dan melancarkan bacaan anak anda malah dapat memupuk minat membaca yang mendalam untuk masa akan datang.

5. Tanya Soalan Pada Anak

Kanak-kanak sangat suka jika kita meunjukkan minat dan memberikan perhatian kepada mereka. Bila buku atau bahan bacaan itu mempunyai gambar, kita digalakkan menyoal berdasarkan cerita atau gambar pada bahan bacaan. Contohnya cerita Sang Kancil Dan Sang Buaya.

Cuba bertanya, kenapa buaya nak makan sang kancil? Anak akan tersenyum apabila mendengar soalan daripada kita. Pastinya jawapan mereka ada yang masuk akal dan ada yang diluar kotak fikiran kita yang mungkin lucu pada kita. Walaubagaimanapun, selitkan nasihat yang baik kepada anak-anak kita seperti ' Dah besar nanti, adik kena cakap jujur dan bertanggungjawab. Tak nak ikut sikap Sang Buaya ya?!

6. Jadi Contoh Yang Baik

Bagaimana anak-anak hendak minat membaca sekiranya kita sendiri tiada minat membaca buku. Oleh itu perilaku kita mampu mendorong anak-anak untuk minat membaca . Ibarat kata ' leadership by example' atau dalam bahasa melayunya, 'kepimpinan melalui teladan'. Jadi ibu bapa adalah contoh terbaik kepada anak-anak anda.

7. Gabungkan Membaca Dan Menulis

Tips Minat Membaca

Usah serahkan bulat-bulat tugas mengajar anak kepada tadika dan sekolah sahaja. Dorong dan didiklah anak anda sendiri untuk membaca dan menulis dari rumah. Ajarlah anak-anak anda menulis abjad dan huruf pada kertas atau belikan buku tulis mereka sendiri. Kita boleh mulakan dengan mengajar mereka mengeja nama mereka sendiri dan ajarkan dengan sebutan yang betul.

8. Tampal Abjad ABC Dan 123 Pada Dinding

Tips Minat Membaca

Kini banyak bahan atau produk yang dijual di kedai buku yang mengandungi ABC dan 123 berserta gambar yang boleh kita beli. Tampal di bilik tidur atau di ruang membaca atau ditempat yang mudah dilihat. Setiap hari mereka akan nampak dan secara 'subconcious' mereka akan hafal abjad itu.

9. Pilih Buku Yang Terbaik

Hari ini terlalu banyak buku serta bahan bacaan yang ada di pasaran dan kedai buku seperti MPH dan Kinokuniya. Bahan bacaan perlulah ditapis ini kerana pilihan buku yang sesuai mengikut peringkat umur amatlah penting. Tidak kurang pula buku yang memiliki warna dan gambar yang menarik dapat menarik minat membaca anak-anak anda.

Buku untuk kanak-kanak juga kini banyak dijual secara online yang memudahkan ibu bapa untuk menjimatkan masa untuk ke kedai buku.

10. Selalu Membawa Anak Anda Ke Kedai Buku Atau Perpustakaan

Tips Minat Membaca

Saya sendiri suka ke 'shopping kompleks' bukan untuk membeli belah tetapi gemar membawa anak ke kedai buku Popular kerana di situ mesra pembaca. Anda bukan sahaja boleh membeli tetapi boleh membaca buku dan memilih bahan bacaan untuk dibaca di situ. Biarkan anak anda memilih buku yang ingin mereka baca.

Percayalah, anda bukan sahaja memupuk minat membaca tetapi anda juga boleh jimatkan perbelanjaan  anda untuk membeli buku. Itu pendapat saya, jika anda bagaimana pula? Tetapi ini tidak bermakna kita perlu menyekat kehendak anak untuk memilih buku yang mereka minat. Gunakan pendekatan berbincang dan memujuk dalam pemilihan buku mengikut bajet anda. 


Kesimpulannya, cepat atau lambat anak anda cepat membaca sebenarnya bergantung kepada didikan ibu bapa dari rumah. Jika anda telah melakukan 10 tips mudah di atas namun anak anda masih lambat membaca jangan berputus asa. Ini kerana setiapa anak adalah unik dan mempunyai sikap dan minat yang berbeza. Paling penting, luangkanlah masa kita walau hanya untuk 30 minit untuk membaca bersama anak-anak. Percayalah, ini adalah pelaburan yang yang sangat berbaloi untuk anak anda. 

Kredit : Sirap Limau



Pengedar Sah Shaklee Pelabuhan Klang : Dila

(Shaklee ID: 1161375)



0177305635 (whatsapp /sms)


dilaanaqi.df@gmail.com (email)

buahatiku anaqi (facebook)

COD : Pulau Indah

Anda suka berbisness dan ingin menjadi Pengedar Sah Shaklee ?
Hubungi saya dan group terbaik menanti anda.
















No comments:

Post a Comment